Lompat ke kandungan

Membantu Orang Buta di Afrika

Membantu Orang Buta di Afrika

Di sesetengah negara, bantuan dan kemudahan disediakan untuk orang buta. Namun keadaan hidup orang buta di beberapa negara yang sedang membangun adalah berbeza. Ada kalanya mereka diabaikan oleh masyarakat dan menghadapi cabaran untuk melakukan aktiviti seharian. Misalnya, mereka mungkin menghadapi kesusahan untuk membeli makanan, membezakan nilai wang, dan menggunakan pengangkutan awam. Membaca juga merupakan satu cabaran kerana bukan semua orang buta dapat membaca Braille. Tambahan pula, bahan bacaan Braille dalam bahasa mereka mungkin sukar diperoleh.

Sejak lebih daripada 100 tahun yang lalu, Saksi-Saksi Yehuwa sudah mula menghasilkan bahan bacaan dalam Braille. Para Saksi juga ingin menghasilkan bahan bacaan Braille dalam bahasa Chichewa, iaitu bahasa yang digunakan di Malawi. Jadi baru-baru ini, mereka telah memindahkan mesin cetak Braille dan mesin penjilid buku dari Belanda ke Malawi.

Leo, yang berkhidmat di pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa, mempunyai pengalaman dalam menghasilkan bahan bacaan Braille. Dia pergi ke Malawi untuk melatih lima orang Saksi tentang cara menggunakan mesin untuk menghasilkan bahan bacaan Braille. Mereka juga diajar cara menggunakan program komputer yang berfungsi untuk mengubah teks ke dalam Braille bahasa Chichewa. Program komputer ini telah direka oleh para Saksi. Mula-mula, pengguna harus menyediakan suatu jadual yang mengandungi teks biasa dan abjad Braille. Kemudian, program itu akan mengubah teks biasa ke dalam Braille dan menyusun teks tersebut agar orang buta dapat membacanya dengan mudah. Berikut merupakan komen-komen daripada mereka yang membaca bahan bacaan Braille dalam bahasa Chichewa di Malawi.

Munyaradzi ialah seorang wanita muda yang buta. Dia mempunyai kerja sambilan sebagai pengacara radio. Dia juga meluangkan 70 jam setiap bulan untuk mengajar orang tentang Bible. Dia berkata, “Dulu saya pernah menerima bahan bacaan Braille dalam bahasa Inggeris. Tapi setelah mendapat bahan bacaan itu dalam bahasa sendiri, hati saya sangat tersentuh. Saya sangat menghargai usaha para Saksi dan bantuan mereka dari segi kewangan demi menghasilkan bahan bacaan Braille dalam bahasa kami. Kami berasa dihargai dan tidak diabaikan.”

Francis ialah seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang buta. Dia tinggal di bahagian utara Malawi. Dahulu, dia memerlukan bantuan orang lain untuk membaca baginya. Tetapi setelah menerima bahan bacaan Braille yang pertama dalam bahasa Chichewa, dia berkata, “Saya sedang bermimpi kah? Saya sangat gembira!”

Loyce ialah seorang penginjil sepenuh masa yang buta. Dia telah membantu 52 orang untuk mengenali kebenaran dan menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Semasa pembelajaran Bible, Loyce menggunakan bahan bacaan Braille, manakala pelajarnya menggunakan bahan bacaan dalam bentuk teks. Semua bahan bacaan tersebut diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

Loyce sedang mengendalikan pembelajaran Bible

Leo, pengajar dari Brazil yang disebut tadi, berkata, “Saya berasa sangat gembira untuk memberikan bahan bacaan Bible dalam bentuk Braille kepada orang buta. Apabila mereka sedar bahawa bahan bacaan Braille terdapat dalam bahasa mereka, saya berasa sangat puas hati. Mereka sangat berterima kasih kepada Yehuwa dan berasa gembira kerana mereka dapat membuat persediaan bagi perjumpaan Kristian dan kerja menginjil. Mereka tidak perlu lagi bergantung pada orang lain untuk membaca kepada mereka. Sekarang, mereka sendiri dapat membuat pembelajaran peribadi. Mereka dapat membantu keluarga mereka untuk bertumbuh secara rohani. Bahan bacaan Braille membantu mereka lebih mendekati Yehuwa.”