Mengapakah Cara Saksi-Saksi Yehuwa Menyambut Perjamuan Malam Tuan Berbeza daripada Agama Lain?
Kami mengikut apa yang dikatakan dalam Bible dengan teliti berkenaan sambutan Perjamuan Malam Tuan, yang juga dikenali sebagai Perjamuan Terakhir, Perjamuan Tuan, dan Peringatan kematian Yesus. (1 Korintus 11:20) Bagi kebanyakan aliran Kristian yang lain, kepercayaan dan amalan mereka berkaitan sambutan ini adalah tidak berdasarkan Bible.
Tujuan
Tujuan Perjamuan Malam Tuan adalah untuk memperingati Yesus dan menunjukkan penghargaan terhadap pengorbanannya demi kita. (Matius 20:28; 1 Korintus 11:24) Sambutan ini bukanlah satu upacara atau amalan untuk mendapatkan rahmat Tuhan atau pengampunan dosa. Menurut ajaran Bible, dosa kita dapat diampunkan hanya melalui iman terhadap Yesus dan bukannya melalui upacara keagamaan.—Roma 3:25; 1 Yohanes 2:1, 2.
Seberapa kerap?
Yesus memberikan perintah kepada murid-muridnya untuk menyambut Perjamuan Malam Tuan, tetapi dia tidak menyebut secara khusus berapa kerap mereka harus melakukannya. (Lukas 22:19) Sesetengah orang berasa bahawa perjamuan ini perlu disambut setiap bulan, manakala yang lain menyambutnya setiap minggu, setiap hari, beberapa kali sehari, atau sekerap yang dirasakan sesuai. a Namun, perhatikan faktor-faktor berikut.
Yesus memperkenalkan Perjamuan Malam Tuan semasa sambutan Paska orang Yahudi, dan dia mati pada hari yang sama. (Matius 26:1, 2) Hal ini tidak terjadi secara kebetulan. Ayat Bible membandingkan korban Yesus dengan bebiri Paska. (1 Korintus 5:7, 8) Perayaan Paska disambut sekali setiap tahun. (Keluaran 12:1-6; Imamat 23:5) Begitu juga, Peringatan kematian Yesus disambut sekali setiap tahun oleh orang Kristian abad pertama dan Saksi-Saksi Yehuwa mengikut teladan mereka yang telah dicatatkan dalam Bible.
Tarikh dan masa
Cara Yesus menyambut Perjamuan Malam Tuan bukan sahaja membantu kita mengetahui berapa kerap perjamuan ini perlu disambut, tetapi juga membantu kita menentukan tarikh dan masanya. Dia memperkenalkan Perjamuan Malam Tuan selepas matahari terbenam pada 14 Nisan 33 M, mengikut kalendar Bible. (Matius 26:18-20, 26) Setiap tahun, kami mengadakan sambutan Peringatan pada tarikh ini, sama seperti orang Kristian abad pertama.
Walaupun 14 Nisan 33 M ialah hari Jumaat, ulang tahun bagi tarikh itu mungkin jatuh pada hari yang berbeza setiap tahun. Untuk menentukan hari yang bersamaan dengan 14 Nisan setiap tahun, kami membuat pengiraan mengikut kaedah yang sama seperti pada zaman Yesus dan bukannya mengikut kaedah yang digunakan oleh kalendar Yahudi zaman moden. b
Roti dan wain
Semasa Perjamuan Malam Tuan, Yesus menggunakan roti yang tidak beragi dan wain daripada perjamuan Paska. (Matius 26:26-28) Seperti Yesus, kami juga menggunakan roti yang tidak beragi, atau roti yang tidak dicampurkan dengan bahan lain. Kami juga menggunakan wain merah tulen, bukannya jus anggur atau wain yang telah dicampurkan dengan bahan lain.
Sesetengah aliran Kristian menggunakan roti yang ditambahkan ragi atau yis. Tetapi, Bible sering menggunakan ragi untuk melambangkan dosa. (Lukas 12:1; 1 Korintus 5:6-8; Galatia 5:7-9) Jadi, hanya roti yang tidak bercampur ragi atau bahan lain sesuai untuk melambangkan tubuh Kristus yang tidak berdosa. (1 Petrus 2:22) Selain itu, sesetengah gereja juga menggunakan jus anggur yang tidak ditapai, dan bukannya wain. Hal ini kerana gereja melarang pengambilan alkohol. Namun, larangan ini tidak berdasarkan Bible.—1 Timotius 5:23.
Lambang, bukan darah dan tubuh Yesus
Roti tidak beragi dan wain merah yang digunakan semasa sambutan Peringatan ialah lambang bagi tubuh dan darah Kristus. Roti dan wain tidak berubah menjadi tubuh dan darah Yesus secara mukjizat atau bercampur dengan tubuh dan darahnya seperti yang difikirkan sesetengah orang. Perhatikan penjelasan berikut yang berasaskan Bible.
Jika Yesus memberitahu murid-muridnya untuk meminum darahnya, maksudnya dia ingin mereka melanggar perintah Tuhan tentang pengambilan darah. (Kejadian 9:4; Kisah 15:28, 29) Sudah tentu halnya bukan sedemikian kerana Yesus tidak mungkin menyuruh murid-muridnya untuk mengingkari perintah Tuhan.—Yohanes 8:28, 29.
Para rasul tidak mungkin sedang meminum darah Yesus. Hal ini kerana Yesus sendiri berkata bahawa darahnya “akan dicurahkan.” Maksudnya, pada masa itu Yesus belum lagi dikorbankan.—Matius 26:28.
Yesus mengorbankan dirinya “sekali sahaja untuk selama-lamanya.” (Ibrani 9:25, 26) Namun, jika roti dan wain berubah menjadi tubuh dan darah Yesus semasa Perjamuan Malam Tuan setiap tahun, maksudnya Yesus mengorbankan dirinya berulang kali.
Yesus berkata, “Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku,” bukannya “untuk mengorbankan aku.”—1 Korintus 11:24.
Kepercayaan bahawa roti dan wain berubah menjadi tubuh dan darah Yesus adalah berdasarkan cara beberapa ayat Bible diterjemahkan. Misalnya, dalam kebanyakan terjemahan, kata-kata Yesus mengenai wain diterjemahkan sebagai: “Inilah darahku.” (Matius 26:28) Namun, ramai cendekiawan Bible setuju bahawa perkataan “inilah” tidak sesuai digunakan untuk menyingkapkan apa yang ingin disampaikan Yesus. Contohnya, menurut Jacques Dupont, perkataan yang lebih sesuai digunakan ialah “ini melambangkan” atau “ini mewakili.” Maka, Yesus sebenarnya sedang mengajar dengan menggunakan kata-kata kiasan.—Matius 13:34, 35.
Siapakah yang patut makan roti dan minum wain?
Apabila Saksi-Saksi Yehuwa menyambut Perjamuan Malam Tuan, hanya sebilangan sahaja yang makan roti dan minum wain. Mengapa?
Darah Yesus mengesahkan “perjanjian yang baru” yang menggantikan perjanjian antara Yehuwa dengan bangsa Israel kuno. (Ibrani 8:10-13) Semasa sambutan Peringatan, hanya mereka yang terlibat dalam perjanjian baru akan makan roti dan minum wain, bukannya semua orang Kristian. Hal ini adalah kerana mereka telah “dipanggil oleh Tuhan” dan mempunyai hubungan yang istimewa dengan-Nya. (Ibrani 9:15; Lukas 22:20) Mereka akan memerintah di syurga bersama Kristus. Bible menyatakan bahawa hanya 144,000 orang yang menerima penghormatan tersebut.—Lukas 22:28-30; Wahyu 5:9, 10; 14:1, 3.
Walaupun hanya “kawanan kecil” akan memerintah bersama Kristus, kebanyakan daripada kami berharap untuk menjadi sebahagian daripada “kumpulan besar manusia” yang akan hidup selama-lamanya di bumi. (Lukas 12:32; Wahyu 7:9, 10) Meskipun kami tidak makan roti dan minum wain semasa sambutan Peringatan, kami tetap akan hadir untuk menunjukkan penghargaan terhadap korban Yesus.—1 Yohanes 2:2.
a Berkenaan Perjamuan Malam Tuan, sesetengah terjemahan Bible menggunakan istilah “seberapa banyak kali.” Istilah ini dianggap sebagai merujuk kepada kekerapan perjamuan itu perlu diadakan. Namun, erti sebenar bagi istilah ini dalam bahasa asal ialah “setiap kali.”—1 Korintus 11:25, 26, Alkitab Berita Baik.
b Kaedah untuk mengira permulaan bulan Nisan pada abad pertama berbeza daripada kaedah pengiraan pada zaman moden. Pada abad pertama, permulaan bulan baru ditentukan apabila anak bulan kelihatan buat pertama kali di Yerusalem. Mengikut kaedah ini, biasanya bulan baru bermula satu atau dua hari lebih lewat berbanding kaedah pengiraan zaman moden. Oleh sebab itu, tarikh Saksi-Saksi Yehuwa menyambut Peringatan ada kalanya berbeza dengan tarikh Paska orang Yahudi zaman moden.