Bagaimanakah Kerja Saksi-Saksi Yehuwa Dibiayai?
Sebahagian besar kerja sedunia kami dibiayai oleh sumbangan sukarela daripada individu-individu yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa. a Peti-peti sumbangan disediakan di tempat perjumpaan kami. Cara lain untuk membuat sumbangan juga disenaraikan pada halaman Sumbangan di laman web kami. Seseorang boleh memilih untuk menyumbang bagi kerja sedunia, perbelanjaan tempatan, atau kedua-duanya.
Saksi-Saksi Yehuwa tidak diwajibkan untuk menyumbangkan persepuluhan ataupun jumlah yang tertentu daripada pendapatan mereka. (2 Korintus 9:7) Kami tidak mengambil kutipan atau mengenakan yuran kemasukan di perjumpaan kami. Penatua kami juga tidak meminta bayaran untuk upacara pembaptisan, pengebumian, perkahwinan, atau upacara keagamaan lain. Kami tidak memungut derma dengan mengadakan penjualan kuih, bazar, permainan judi, karnival, majlis amal, cabutan bertuah, atau kegiatan lain yang serupa. Kami juga tidak meminta-minta sumbangan. Maklumat penderma tidak dikongsi atau diumumkan. (Matius 6:2-4) Laman web dan bahan bacaan kami tidak mengandungi iklan yang boleh menjana pendapatan.
Setiap sidang Saksi-Saksi Yehuwa akan mengumumkan laporan kewangan sidang semasa perjumpaan sidang. Perjumpaan ini terbuka kepada orang ramai. Rekod catatan perakaunan setiap sidang akan diaudit secara tetap untuk memastikan wang yang disumbangkan tidak disalahgunakan.—2 Korintus 8:20, 21.
Cara untuk Membuat Sumbangan
Peti Sumbangan: Anda boleh menderma wang tunai atau cek ke dalam peti sumbangan yang terletak di Dewan Perjumpaan, Dewan Perhimpunan Besar, atau lokasi perjumpaan kami yang lain.
Derma dalam Talian: Di banyak negara, anda boleh melawat halaman “Berikan Sumbangan kepada Saksi-Saksi Yehuwa” untuk menderma dengan menggunakan kad kredit, kad debit, pemindahan wang, dan cara-cara elektronik yang lain. b Sesetengah Saksi menggunakan salah satu cara tersebut untuk menyumbang “sedikit wang” dengan menetapkan pendermaan bulanan secara automatik.—1 Korintus 16:2.
Pemberian yang Terancang: Sesetengah cara untuk membuat sumbangan memerlukan perancangan yang lebih awal dan bahkan memerlukan nasihat peguam. Perancangan sebegini mungkin membolehkan anda mendapatkan pelepasan cukai di negara anda. Ramai orang telah meraih manfaat kerana mendapat tahu tentang pemberian amal yang boleh dilakukan sewaktu mereka masih hidup atau setelah mereka meninggal. Sila hubungi pejabat cawangan tempatan Saksi-Saksi Yehuwa untuk mendapatkan keterangan lanjut jika anda ingin memberikan sumbangan melalui cara yang berkaitan dengan:
akaun bank
insurans dan pencen
hartanah
saham dan bon
wasiat dan amanah
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang cara-cara untuk membuat sumbangan yang terdapat di kawasan anda, sila lihat halaman “Berikan Sumbangan kepada Saksi-Saksi Yehuwa.”
a Terdapat juga sesetengah individu yang bukan Saksi dengan rela memberikan sumbangan untuk menyokong kerja kami.
b Sila lihat video Cara untuk Memberikan Sumbangan Secara Elektronik untuk mendapatkan maklumat lanjut.